Burger Perang ala kebab
Menjalankan perniagaan runcit bukan menjadi pilihan ramai kerana faktor keuntungan yang tidak besar dan mengambil masa untuk dikumpulkan. Namun, ia bukan penghalang kepada Azee Azwani Ab Aziz, 34, kerana dia berpendapat menyediakan keperluan kepada penduduk lebih menjadi keutamaan.
Selain itu, keinginannya untuk dekat dengan komuniti dan berkenalan dengan seramai mungkin penduduk antara faktor dia begitu berkobar-kobar untuk menjalankan perniagaan runcit yang dianggap seperti tempat tumpuan komuniti.
Malah, kini Azee yang juga bertugas sebagai guru turut menjalankan perniagaan burger bersaiz besar yang dinamakan Burger Perang di Parit Buntar, Perak bersama-sama suaminya, Mohd Fadamin Mat Saad, 34. “Semuanya bermula selepas saya meminta suami menemankan saya berniaga di kedai runcit berkenaan kerana kawasan itu yang agak sunyi membuatkan saya rasa sedikit bimbang.
“Suami pula tidak mahu duduk saja, jadi selepas berbincang kami sepakat membuka gerai burger yang beroperasi bermula selepas Asar hingga jam 11 malam setiap hari di hadapan kedai runcit saya. Alang-alang menemankan saya, boleh juga beri pendapatan sampingan,” kata ibu kepada dua anak lelaki itu.
Pejam celik, gerai burger yang dibuka di hadapan kedai runcitnya sudah dua tahun beroperasi dan mendapat sambutan hangat pelanggan dek kelainan saiz yang besar sekali ganda daripada burger biasa.
AZEE dan suami menyiapkan pesanan pelanggan.
Disebabkan gerai burger yang banyak beroperasi di kawasan sama, Azee dan suami cuba mencari sesuatu yang berbeza, lalu memperkenalkan Burger Perang yang bukan saja bersaiz besar, tetapi mengandungi daging burger yang dipotong memanjang sebelum diletakkan di atas roti, ala kebab.
Memperkatakan mengenai nama burger berkenaan, ia dinamakan Burger Perang kerana dia ‘berperang’ dengan pelbagai cabaran termasuk kehendak pelanggan pada awalnya dalam memperkenalkan produk itu.
Katanya, roti burger dibuatnya sendiri dan keseluruhan burger mengambil masa kira-kira 20 minit untuk disiapkan setiap kali pelanggan memesannya. Justeru, pada mulanya ada pelanggan yang mengeluh.
“Ketika itu, ada pelanggan tidak puas hati dan mengadu burger lambat siap, tetapi selepas mereka merasainya, mereka puas hati dan memahami mengapa kami perlukan masa kira-kira 20 minit.
“Kami perlukan masa itu untuk memasak dan menyusun inti kerana ia bukan burger bersaiz biasa. Saya tidak terasa hati, tetapi mengambil setiap komen sebagai positif kerana saya tahu mereka mahu perniagaan ini bertambah baik.
“Semua pelanggan yang memberi komen kini menjadi pelanggan tetap dan ada antara mereka yang menelefon terlebih dulu untuk membuat pesanan sebelum mengambil burger. Malah, pelanggan juga sanggup beratur untuk mendapatkan burger ini,” katanya yang turut memaparkan produk itu di laman Facebook AziMart Burger Perang.
Menurutnya, apa yang membuatkan burger itu bertambah istimewa, adunan resipi sos tersendiri untuk menambah kelazatan burger berkenaan.
Melihat kepada sambutan yang diterima, dia turut memasang impian untuk membesarkan perniagaan dan kini dalam usaha mengumpul modal.
Dia akui tidak mahu membuat pinjaman, sebaliknya cuba menyimpan sebanyak yang boleh untuk membuka sebuah kafe. Setakat ini, semua hasil keuntungan tidak dibelanjakan, sebaliknya dikumpul sedikit demi sedikit.
Selepas beroperasi dua tahun, kedua-dua perniagaannya mampu menjana keuntungan keseluruhan RM40,000 dan Azee bercadang untuk membuka kafe tahun depan di kawasan sama.
Kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dari Universiti Sains Malaysia itu, kafe berkenaan bukan setakat menjual burger, tetapi pelbagai menu akan ditambah demi memberi kepuasan kepada pelanggan.
Pada masa sama, tanggungjawab sebagai guru tetap digalas kerana baginya tugas itu mempunyai tanggungjawab yang besar dan tidak harus dipersiakan.
Perniagaannya tidak pernah menjejaskan tumpuan sebagai guru memandangkan bidang pendidikan juga mendapat tempat tertinggi di hatinya, cuma dia juga mempunyai minat mendalam untuk berniaga.
“Selain burger, saya juga mula memperkenalkan produk baru iaitu burito yang saya namakan sebagai Buntarito disebabkan ia dijual di Parit Buntar,” katanya yang pernah terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan antaranya pakaian kanak-kanak dan produk kesihatan sebelum serius dalam perniagaan runcit dan burger.
Menurut Azee, antara cabaran sepanjang perniagaannya termasuk kekurangan modal pada awal perniagaan di mana barangan di kedai runcit kekurangan sehingga ditegur pelanggan. Lantaran itu, dia lebih bersemangat untuk menyediakan pelbagai keperluan untuk mereka.
Cabaran lain termasuk kenaikan harga barang dan keuntungan yang kecil. Malah, setiap kali harga pasaran meningkat, dia berasa serba salah dan dalam dilema untuk menaikkan harga kerana tidak mahu membebankan masyarakat setempat.
“Bagi saya sesiapa yang ingin berjaya dalam perniagaan perlu mempunyai jati diri yang kuat dan mampu menerima semua komen pelanggan dengan baik. Pada mulanya adik-beradik tidak setuju saya membuka kedai runcit, apatah lagi saya mempunyai ijazah, tetapi saya buktikan perniagaan ini mampu dijayakan,” katanya.

Menurutnya, dia rasa gembira menjalankan kedua-dua perniagaan itu kerana selain mendapat wang sampingan, ia membuka peluang kepadanya untuk berkenalan dengan penduduk setempat.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/13harian metro. penulis: Faizatul Farlin Farush Khan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan